Bersyukur ialah : pengi’tirafan atau penerimaan suatu ihsan atau kebaikan. Seperti kita berkata : “Aku bersyukur kepada ALLAH” atau “Aku bersyukur atas segala nikmat dan kurnia ALLAH.” Bersyukur seumpama memuji, namun memuji itu lebih umum sifatnya dari bersyukur, kerana kita biasanya memuji seseorang itu atas sifat-sifatnya yang baik lagi mulia, tetapi kita tidak bersyukur kecuali atas perbuatan seseorang.
Dari segi bahasa, asal penggunaan perkataan
‘syukur’ ialah : Wujudnya kesan pemakanan dalam tubuh haiwan, maka
‘syakur’ pada haiwan ialah : Bahan makanan sedikit yang mencukupinya, atau bahan makanan sedikit yang menggemukkannya. Dari pengertian ini, jelaslah bahawa syukur itu ialah : Wujudnya kesan nikmat ilahiyat atas diri seorang hamba yang beriman; tercetus dari lidahnya pujian dan sanjungan dan pada dirinya peribadatan dan ketaatan. Sedikit nikmat yang diterimanya mencetuskan kesyukuran yang melimpah. Apatah lagi jika dianugerahkan nikmat yang ruah.
Syukur adalah suatu syu’bah dari syu’bah-syu’bah iman. Sifat-sifat yang tercetus dari syu’bah ini ialah seperti : sabar, redha, taubah, berserah, berharap, taqwa, khusyu’, ihsan, ibadah dan yang seumpamanya.
Syu’bah-syu’bah ini, sekalipun kesemuanya adalah dari cabang-cabang iman dan ia adalah kesan zahir dan batin dalam diri seseorang insan yang beriman, namun ia berbeza antara satu dengan yang lain. Sebahagian dari syu’bah-syu’bah ini berfungsi sebagai unsur amali bagi
‘syukur’, sementara sebahagian yang lain bertindak sebagai unsur amali bagi
‘sabar’.
Dalam hal ini, kitab suci Al-Quran telah membuat perbandingan antara ‘syukur’ dan ‘sabar’ ini di beberapa tempat. Antaranya firman ALLAH ‘Azzawajalla dalam surah Ibrahim ayat 5 :
”Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan ALLAH bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.”
Maka bersyukur atas nikmat, digambarkan dengan sabar atas kesusahan.
Dalam sebuah hadiths yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim radiALLAHuanhu, Rasulullah SallALLAHualaihiwasalam telah bersabda:
”Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan ada lagi seseorangpun melainkan hanya untuk orang mukmin itu belaka, iaitu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, iapun bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa oleh kesukaran- yakni yang merupakan bencana- iapun bersabar dan hal inipun adalah merupakan kebaikan baginya.”
Dalam beberapa syu’bah, syukur dan sabar ini saling bertimbal. Ada kalanya syukur itu lebih umum sifatnya dari sabar, begitu pula sebaliknya dalam syu’bah yang lain. Contoh yang menunjukkan bahawa syukur itu lebih umum sifatnya ialah atas perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh ALLAH ‘Azzawajalla yang memerlukan kesabaran, maka seorang mukmin mensyukuri Tuhannya atas apa yang diturunkanNYA dalam bentuk kesusahan lantas ia bersabar. Kesyukurannya itu berdasarkan keimanannya yang padu bahawa ALLAH ‘Azzawajalla amat Bijaksana dan amat Penyayang.
Jelasnya ialah setiap sesuatu yang memerlukan kesabaran seorang mukmin, maka kesyukuran ada bersamanya. Di sini menunjukkan, kesyukuran lebih umum sifatnya dari kesabaran.
Dan syukur itu salah satu dari sifat-sifat ALLAH ‘Azzawajalla. Sebelum para hambaNYA diarahkan bersifat dengan sifat tersebut, IA telah mengkhabarkan kepada mereka bahawa syukur itu salah satu dari sifat kesempurnaanNYA. Salah satu dari namaNYA dalam
“Al-Asmaul Husna” ialah
“Asysyakuur”, tidak pernah mengabaikan amalan seorang hamba dan tidak pernah menganiayai dan menzalimi hamba, bahkan mengganjarinya dengan ganjaran yang berlipat ganda atas setiap amalan yang baik tetapi atas tiap amalan yang buruk, seorang hamba itu tidak pernah dibalas melainkan berdasarkan amalan buruk yang dilakukannya, bahkan jika hamba yang bersalah itu bertaubat, maka ALLAH ‘Azzawajalla adalah amat Pengampun dan amat Penerima taubat.
Firman ALLAH ‘Azzawajalla :
“Apa gunanya ALLAH menyiksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNYA) serta kamu beriman (kepadaNYA)? Dan (ingatlah) ALLAH sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNYA), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).”
Surah An-Nisa’ ayat 147
Dan firmanNYA lagi :
”Kalau kamu memberi pinjaman kepada ALLAH, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya ALLAH akan melipatgandakan balasanNYA kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan ALLAH sangat-sangat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).”
Surah At-Taghaabun ayat 17
Dan bersyukur ini juga adalah dari akhlak pada Nabi. Merekalah yang pertama mengambil dan melaksanakan sifat ilahiyat ini, sebagaimana firman ALLAH ‘Azzawajalla tentang Nabi Nuh Alaihisalam : ”Sesungguhnya ia (Nuh) adalah seorang hamba yang banyak bersyukur.”
Surah Al-Israa’ ayat 3
Begitu juga firmanNYA tentang Nabi Ibrahim Alaihisalam :
”Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan ‘satu umat’ (walaupun ia seorang diri), ia taat sepenuhnya kepada ALLAH, lagi berdiri teguh diatas dasar tauhid, dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik.”
Surah An-Nahl ayat 120
Juga firmanNYA tentang Nabi Sulaiman Alaihisalam :
”Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak disisinya, berkatalah ia : “Ini adalah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenang nikmat pemberianNYA.”
Surah An-Naml 40
Dan Nabi Muhammad SallALLAHualaihiwasalam adalah yang paling banyak bersyukur. Baginda telah melaksanakan kewajipan ini dengan sebaik-baiknya, bertepatan dengan firman ALLAH ‘Azzawajalla :”(Janganlah menyembah yang lain dari ALLAH) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah ALLAH semata-mata, dan hendaklah engkau termasuk orang-orang yang bersyukur.”
Surah Az-Zumar ayat 66
Al-Iman Bukhari dan Al-Iman Muslim telah meriwayatkan dari Sayyidatina ‘Aisyah radiALLAHuanha bermaksud :
”Dari ‘Aisyah radiALLAHuanha bahawasanya Rasulullah SallALLAHualaihiwasalam berdiri untuk beribadat dari sebahagian waktu malam sehingga pecah-pecahlah kedua tapak kakinya. Saya (‘Aisyah) lalu berkata kepadanya : “Mengapa Tuan berbuat demikian ya Rasulullah, sedangkan ALLAH telah mengampunkan segala dosa-dosa Tuan yang telah lalu dan yang kemudian?” Rasulullah bersabda : “Adakah aku tidak senang untuk menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur?”
Inilah Nabi yang tidak ada sesiapapun mendahului ilmunya di kalangan manusia tentang pengertian nikmat dan mensyukurinya dengan hati, lidah dan anggota.
Dan syukur juga adalah dari akhlak orang-orang mukmin. Ini kerana iman telah mendidik mereka bahawa diri mereka dan semua yang mereka miliki adalah kepunyaan ALLAH. Semua nikmat yang mereka rasai adalah semata-mata anugerah ALLAH ‘Azzawajalla, jadi bagaimana mereka tidak akan bersyukur? Dan mereka juga telah dididik bahawa apabila mereka mensyukuri ALLAH sebenarnya adalah untuk diri mereka sendiri, kerana kebaikannya akan kembali kepada mereka; sementara ALLAH adalah Maha Kaya dari semua yang mereka lakukan.
Firman ALLAH ‘Azzawajalla :
”Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah KAMI berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada ALLAH, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNYA.”
Surah Al-Baqarah ayat 172
Dan firmanNYA lagi :
”Dan sesungguhnya KAMI telah memberi kepada Luqman hikmat kebijaksanaan, (serta KAMI perintahkan kepadanya) : “Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmatNYA kepadamu).” Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada ALLAH), kerana sesungguhnya ALLAH Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Surah Luqman ayat 12
Walaupun syukur itu adalah budaya para Nabi dan orang-orang mukmin, tetapi di kalangan kebanyakkan manusia rasa syukur atas segala nikmat dan pemberian yang telah ALLAH berikan kepada mereka amat sedikit. Ini telah dijelaskan oleh ALLAH ‘Azzawajalla disalah satu firmanNYA :”Dan sesungguhnya KAMI telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”
Surah Al-A’raf ayat 10
Dan firmanNYA lagi :
”Dan DIAlah juga yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”
Surah Al-Mu’minun ayat 78
Dan firmanNYA lagi :
“Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKU yang bersyukur.”
Surah Saba’ ayat 13
Andaikata seluruh manusia punya rasa kesyukuran atas segala nikmat yang ALLAH beri, nescaya manusia zaman inilah seharusnya yang paling banyak bersyukur, berbanding dengan manusia yang hidup terdahulu dari mereka.
Kalau kita hendak bandingkan kemudahan, kesenangan, kemajuan ilmu yang cukup pesat dari pelbagai bidang yang dikecapi oleh manusia zaman ini, mereka adalah cukup beruntung jika dibandingkan dengan zaman datuk nenek dan manusia yang terdahulu daripada mereka.
Dan sesungguhnya kedudukan generasi hari ini amat berat di hadapan ALLAH ‘Azzawajalla jika tidak rasa syukur terhadap Tuhan yang telah menganugerahkan ke atas mereka semua nikmat ini, ataupun jika rasa syukur mereka tidak setimpal dengan nikmat yang mereka kecapi. Amat tepatlah firman ALLAH ‘Azzawajalla :”Sesungguhnya ALLAH sentiasa melimpah-limpah kurniaNYA kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakkan manusia tidak bersyukur.”
Surah Al-Baqarah ayat 243
Maka mensyukuri nikmat bererti mengingatinya dan menyebarkannya. Sementara mengkufurinya bererti menidakkannya dan menyembunyikannya.
ALLAH ‘Azzawajalla berfirman :
”Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada ALLAH), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.”
Surah An-Naml ayat 40
Dan firmanNYA lagi :
”Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmatNYA itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya ALLAH tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNYA); dan IA tidak redha hamba-hambaNYA berkeadaan kufur; dan jika kami bersyukur, IA meredhainya menjadi sifat dan amalan kamu.”
Surah Az-Zumar ayat 7
Sebab-sebab seorang itu mengukufuri nikmat ALLAH itu amat banyak. Antaranya sifat lalai dan leka, atau menganggap bahawa semua nikmat yang diperolehinya itu tiada hubungan langsung dengan ALLAH ‘Azzawajalla. Hal seperti ini pernah digambarkan oleh ALLAH ‘Azzawajalla ketika mengkhabarkan tentang kisah Qarun, sewaktu kaumnya mengingatkannya bahawa apa yang diperolehinya itu adalah dari ALLAH. Lantas hendaklah ia berbuat baik sebagaimana ALLAH telah berlaku baik terhadapnya. Tetapi jawapannya adalah amat menyedihkan; sebagaimana yang difirmankan oleh ALLAH ‘Azzawajalla :”Qarun menjawab (dengan sombongnya) : “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.”
Surah Al-Qasas ayat 78
Demikianlah, sesungguhnya memahami sesuatu konsep dalam Islam adalah penting; dan memahami kepentingan syukur itu sendiri pastinya menjadikan seorang mukmin itu dapat menjalani kehidupannya di bumi ALLAH ini dengan lebih sempurna.
Firman ALLAH ‘Azzawajalla :
”Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu adalah ia dari ALLAH.”
Surah An-Nahl ayat 53
Nukilan indah oleh :
Ustaz Mokson Bin Mahori,
Mudir Madrasah Al-Junied Al-Islamiah, Singapura.ALLAHu a'lam bisawab.