Thursday, March 15, 2007

material


بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صلي وسلم على سيدنا محمد
وعلى آله وصحبه اجمعين



Sedikit nukilan
ana ambil dari ceramah
Habib Umar Bin Hafiz.
Insya`ALLAH, kita ambil pelajaran darinya untuk kebaikan kita bersama fiddunya walAkhirah…


Ada di antara mereka itu yang kaya dan fakir miskin. Ada di antara mereka pegawai, jurutera, peniaga, pemerintah dan yang diperintah. Antara mereka siapa yang hidup di negara maju dan ada yang di negara yang miskin.


Jadi, semua sifat-sifat ini tidak dikira padanya. Betapa cepatnya ia berakhir dan dikeluarkan daripadanya ahlinya serta ianya lenyap dari mereka. Semua keadaan-keadaan ini tidak diambil kira yang mana orang-orang yang dimuliakan disisi ALLAH berkongsi perkara ini bersama orang-orang yang celaka pada hari itu (akhirat).


Dengan apakah ianya diambil kira? Dengan apakah ianya terjadi?


Orang mukmin yang berakal semestinya tidak tertipu dengan penipuan dalam perkara yang material ini. Semua perkara yang material ini pada zatnya tidak membawa kemuliaan tidak juga kehinaan. Begitu tidak juga kenikmatan dan tidak juga keseksaan. Tidak juga syurga dan tidak juga neraka. Tetapi, zat dirimu wahai manusia! Begitu juga hatimu! Kecenderunganmu! Niatmu! Kehendakmu dan maksudmu! Serta hubunganmu bersama Tuhanmu Yang Mencipta.


Perkara inilah yang terdapat padanya kebahagiaan ataupun kesengsaraan yang abadi. Dekatnya dengan ALLAH ataupun berjauhan dariNYA. Berada dalam syurga ataupun dalam neraka. Jadi, bahaya yang dahsyat bukan kerana manusia itu memakai pakaian yang mahal ataupun yang murah. Bukan kerana dia hidup kaya-raya ataupun miskin. Bukanlah kerana dia menaiki kereta yang mewah ataupun menunggang motosikal atau basikal yang dikayuh dengan kakinya ataupun dia berjalan kaki di jalanan. Tiada apa-apa bahaya padanya. Tiada apa-apa kekurangan padanya. Terdapat padanya segala daripada yang bertaqarrub atau yang berjauhan (dari ALLAH). Yang disayangi dan yang dibenci di sisi ALLAH. Tiada apa-apa.


Jadi… apakah perkara itu? Perkara itu adalah hatimu! Perkara itu adalah maksudmu! Perkara itu adalah kehendakmu! Perkara itu adalah hubunganmu dengan Tuhanmu dan bagaimanakah kamu ingin bersamaNYA?


Ambil beratlah padaNYA. Berbesar hatilah untukNYA. Berjaga-jaga denganNYA. Hadapkan pandanganmu ke arahNYA. Begitu juga pandangan keluargamu, anak-pinakmu, sahabat handai serta rakan taulanmu. Janganlah jadikan pandangan mereka mengambil kesilapan-kesilapan yang menipu kebanyakan manusia dalam kehidupan ini. Maka mereka tidak berhasil apa-apa selepasnya melainkan kesedihan dan penyesalan dengan sebab terputusnya mereka dari ALLAH disebabkannya. Kita mohon perlindungan dari ALLAH Subhana Tabaraka wa Ta’ala.


Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq radiALLAHuanhu adalah peniaga di Makkah Al-Mukarramah. Dia memiliki sembilan gedung di Makkah yang mana dia berurus-niaga dalamnya. Terdapat banyak usahawan di Makkah dan diluarnya ketika itu. Adakah semua mereka itu adalah usahawan seperti Abu Bakar As-Siddiq?


Sayyidina Zulbijadain radiALLAHuanhu dan Sayyidina Abu Hurairah radiALLAHuanhu adalah dua orang dari fakir miskin di kalangan sahabat. Pada masa mereka terdapat banyak fakir miskin. Adakah semua fakir miskin seperti mereka? Mereka mendapat tempat dan kemuliaan didunia dan akhirat.


Sayyidina Sa’ad Bin Mu’az radiALLAHuanhu adalah seorang pemerintah kaumnya serta ketua untuk masyarakatnya. Dia menerima kepimpinan. Adakah semua pemimpin masyarakat mendapat tempat seperti Sayyidina Sa’ad Bin Mu’az yang mana ‘Arasy ALLAH bergegar ketika dia meninggal dunia? Apakah yang diperolehinya ketika dia menjadi pemerintah bagi masyarakatnya?


Tetapi dia mendapatnya hasil dari kasihnya pada ALLAH dan RasulNYA Nabi Muhammad SallALLAHualaihiwasalam. Dia mendapatnya kerana dia benar-benar bersama ALLAH dan RasulNYA yang mana dia berkata di hari Perang Badar:

“Ambillah wahai Rasulullah dari hartaku apa yang kamu mahukan dan tinggalkan seperti yang kamu kehendaki. Apa yang kamu ambil dari kami adalah lebih disayangi dari apa yang kamu tinggalkan. Sambungkan pertalian sesiapa yang kamu kehendaki dan putuskan talian sesiapa yang kamu tidak kehendakinya. Perangilah sesiapa yang kamu kehendaki atau berdamai dengan sesiapa yang kamu kehendakinya. Kami berperang terhadap sesiapa yang kamu perangi dan kami berdamai dengan sesiapa yang kamu berdamai dengannya.”


Antara balasannya disisi ALLAH ialah kematiannya ketika umurnya kurang dari 40-an dan ‘Arasy ALLAH bergegaran kerana kematiannya… ‘Arasy ALLAH bergegaran kerana kematiannya radiALLAHuanhu.


Malaikat Jibril alaihisalam keluar berkata kepada Nabiyi Mustafa:

”Siapakah hamba soleh yang mana ‘Arasy ALLAH bergegaran dengan kematiannya? ‘Arasy gembira dengan ketibaan ruh Sa’ad Bin Mu’az seorang sahabat Nabi Muhammad SallALLAHualaihiwasalam.”

Sayyidina Bilal radiALLAHuanhu pula adalah seorang diperintah di Makkah Al-Mukarramah. Beliau adalah seorang hamba yang dimiliki. Adakah semua hamba-sahaya pada zamannya sepertimana Bilal? Mereka mendapat kedudukan seperti Bilal?


Tetapi beliau dengan keimanan dan ketulusannya serta keikhlasannya menjadi seseorang yang mempunyai kedudukan yang hebat. Jadi, bukanlah setiap kedudukan itu berdasarkan keadaan material duniawi semata-mata.


Orang yang tertipu dengan dunia adalah orang yang lemah akalnya, keimanan dan pandangannya punah dalam memerhatikan hakikat setiap perkara dan masa depan yang jauh.


Sesungguhnya, betapa mulianya Bilal ketika diseksa kerana ALLAH.


Dia menyebut:

“Maha Esa. Maha Esa.”

Dikatakan padanya:
“Ingkarlah pada ALLAH.


Dia menyebut:

“Maha Esa. Maha Esa.”

…”Sekutukanlah dengan ALLAH”

Dia menyebut:

“Maha Esa. Maha Esa.”

Dia dipukul sambil melaungkan:

“Maha Esa. Maha Esa.”

Ditarik. Maka dia melagukan:

“Maha Esa. Maha Esa.”

Diletakkan batu diatas belakangnya dan perutnya, dia menyebut:

“Maha Esa. Maha Esa.”

Beliau ditanya selepas itu:
”Kamu terus melaung sedangkan kamu diseksa. Adakah kamu tidak merasa pedih diseksa?”


Beliau menjawab:

”Aku mencampurkannya dengan kemanisan iman, kemanisan iman telah mengalahkan kepahitan seksaan itu.”

Dia melaungkan dengan asyiknya dalam mengingati sifat Yang Tunggal lagi Maha Esa. Dia menyebut:

“Maha Esa. Maha Esa.”

Ini adalah suara yang lantang dan laungan yang berkualiti. Maka dia mengulangi laungan ini. Dia mengulangi laungan dalam keadaan rindu, memerhatikan sifat ALLAH. Memerhatikan keindahan ALLAH dan kebesaran ALLAH. Maka, azab menjadi kecil baginya.












Tidak beberapa lama sehingga pembukaan Makkah, dia naik ke atas Kaabah. Bilal melaungkan:



”ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar, Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan ALLAH.”

Di manakah orang yang pernah menyeksanya? Di manakah orang yang pernah menyakitinya? Di manakah orang yang pernah menghalangnya untuk menyebut perkataan ini? Mereka telah memasuki dalam salah satu dari lubang-lubang neraka. Dalam api yang menyala-nyala. Inilah orang mendapat nikmat di dunia, bermegahan lagi dimuliakan. Kemudiannya, ketika kematiannya, tibalah maut lalu isterinya berteriak:
”Betapa pilunya, betapa pilunya.”


Bilal membuka matanya. Lalu berkata Bilal:

”Betapa gembiranya, betapa gembiranya. Esok aku akan temui para sahabat. Nabi Muhammad SallALLAHualaihiwasalam dan kumpulannya.”

ALLAH memberikan untuk hati hambanya untuk mendapatkan kebahagiaanya sebenarnya. Orang-orang yang memandang pada material dunia, ada dikalangan mereka yang kaya dan miskin. Ada di kalangan mereka pemimpin, raja dan yang dimiliki. Tetapi semua yang berbahagia dengan hubungannya dengan Nabi Muhammad SallALLAHualahiwasalam dan Tuhan kepada Sayyidina Muhammad serta kemenangan bagi Sayyidina Muhammad. Sesiapa yang hendak berbahagia pada hari ini, tiadalah pintu kebahagiaan melainkan pintu yang dimasuki oleh Nabi. Moga-moga ALLAH membahagiakan kita dengan ketulusan dan ALLAH menjadikan kita dari sebaik-baik makhluk… amin ya RABB.


ALLAHu a`lam bisawab.

Related Posts with Thumbnails