Sunday, April 12, 2009

Bahaya Menangguhkan Ketaatan



بسم الله الرحمان الرحيم
الحمد لله رب العالمين حمداً يوافى نعمه ويكافئ مزيده



للهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد الفاتح لما أغلق
والخاتم لما سبق والناصر الحق بالحق
والهادي الى صراطك المستقيم صلى الله عليه
وعلى أله وأصحابه حق قدره ومقداره العظيم
- Selawat Fatih


الســــلام عليكم ورحمة الله وبركـــاته




"Hendaklah anda sentiasa menyegerakan amal taat dan jangan sekali-kali menangguhkan nya ke masa yang lain kerna dalam menangguh-nangguh amal taat itu mengandungi bahaya. Setiap manusia terdedah oleh berbagai-bagai bencana dan pekerjaan yang tidak ada akhir nya.


Sabda RasuluLlah صلى الله عليه وسلم :
"Rebutlah peluang lima sebelum lima: Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa kaya sebelum tiba masa papa. Dan masa hidup sebelum tiba mati."


Sabda nya lagi صلى الله عليه وسلم :
"Segerakanlah mengerja amal-amal shalih sebelum kamu sibuk, dan adakanlah perhubungan di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyakkan dzikr (ingatan) kepadaNYA."


Sabda Baginda صلى الله عليه وسلم lagi :
"Kebanyakkan manusa terpedaya dalam dua ni`mat, iaitu masa sihat dan masa lapang."


Maksud nya : Ia terpedaya dalam dua ni`mat itu, jika ia hidup dalam keadaan sihat dengan banyak masa yang lapang. Malang nya ia menghabiskan masa-masa itu dengan membuat kerja yang sia-sia dan amal-amal yang merugikan; iaitu dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha keduniaan yang boleh mengalpakan diri dari mengingat ALLAH تعالى serta mengabaikan amal taat. Nyatalah orang ini akan rugi serugi-rugi nya kelak sesudah mati, kerna ia akan melihat dengan mata sendiri apa yang telah luput daripada nya, dari darjat dan pangkat yang tinggi, yang sekira nya di masa hidup di dunia dahulu, ia menghabiskan semua masa lapang nya dengan mengerjakan amal-amal shalih, nescaya ia akan memperoleh segala darjat dan pangkat itu.


Berkata Sayyidina `Ali كرم الله وجهه :
"Kebanyakkan manusia lalai, kelak sesudah mati baru sedar."


ALLAH تعالى berfirman :
"Tatkala ALLAH mengumpul kamu pada hari pertemuan, itulah hari perdayaan (kerugian)." - Surah at-Taghabun ayat 9


Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Ahli Syurga tidak akan merasa kesal sama sekali, melainkan terhadap masa-masa yang berlalu, yang pada nya mereka tiada menyebut nama ALLAH."


Iaitu setelah mereka melihat kerugian darjat dan keni`matan yang disebabkan oleh kelalaian pada masa-masa lapang yang terluput tanpa amal shalih.


Adapun orang yang menghabiskan masa sihat dan masa lapang dengan mengerjakan berbagai-bagai maksiat terhadap ALLAH تعالى serta menimbulkan kemurkaanNYA, maka ia bukan lagi terpedaya, malah rugi dan terkutuk. Kerna orang yang terpedaya itu ialah orang yang menghabiskan masa nya pada perkara-perkara yang sia-sia dan perbuatan yang harus.


Mungkin terpedaya itu dimaksudkan juga dengan seseorang yang tidak dapat mengecap ni`mat sihat dan masa lapang, kerna sepanjang masa ia ditimpa bala`, seperti sakit, tidak berdaya-upaya ataupun terlampau banyak urusan, sehingga kerna nya ia tidak mungkin mengerjakan amal shalih, sebagaimana yang dikerjakan orang sihat dan orang yang menghabiskan masa lapang nya untuk beramal.


Cuba anda renungkan firman ALLAH تعالى berikut :
"ALLAH mengutamakan orang-orang yang berjuang ke atas orang-orang yang duduk dengan memberi pahala yang berlipat-ganda." - Surah an-Nisa` ayat 95


Sabda RasuluLlah صلى الله عليه وسلم :
"Orang Mu`min yang kuat lebih utama dan lebih dikasihi ALLAH daripada orang Mu`min yang lemah. Namun demikian, masing-masing ada kebaikan nya."


Maka hendaklah anda pelihara segala perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepadamu, dan mintalah Pertolongan ALLAH dalam melaksanakan nya tanpa malas. Jika anda gagal oleh sesuatu sebab, maka terimalah yang demikian dengan berlapang dada, kerna ia telah ditakdirkan ALLAH, dan apa yang ALLAH Kehendaki pasti akan berlaku. Awas, jangan suka sebut jikalau, kerna yang demikian itu akan membuka jalan bagi gangguan syaitan.


Pada pendapatku, jikalau itu biasa nya disebutkan oleh orang malas yang tiada berupaya, sentiasa meluputkan amal kebajikan, padahal ia boleh mengerjakan nya, disebabkan oleh sikap tidak kuasa dan malas itu. Ataupun ia suka bergantung atas daya-upaya dan kekuatan nya, atau atas usaha dan tipu-daya nya. Ia mengira bahwa ia akan terselamat kerna ia cekap dan pandai mengelakkan diri dari apa yang telah ditakdirkan oleh ALLAH تعالى ke atas diri nya.


Sabda RasuluLlah صلى الله عليه وسلم :
"Tiada berguna menjaga diri dari apa yang ditakdiri."


Renungkanlah segala kata-kata ini, dan fikirkanlah dalam-dalam, kerna ia mengandungi makna yang mendalam dan rahsia yang banyak. Hanya kepada ALLAH sahjalah kesudahan segala perkara."


- Dari kitab "Nasihat Agama Dan Wasiat Iman" karangan al-Imam al-Qutub al-Habib `AbduLlah ibn `Alawi al-Haddad dengan terjemahan oleh al-Habib Ahmad ibn Muhammad Semait رضي الله تعالى عنهم



اللهم اعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك
برحمتك يا أرحم الراحمين

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


سبحان ربك رب العزة عما يصفون
وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين

Related Posts with Thumbnails